Saturday 19 November 2011

ASEAN INTERVARSITY ARABIC DEBATING CHAMPIONSHIP 2011

Pencapaian Membanggakan : 
Kedua-dua pasukan Universiti Malaya mara ke Suku Akhir 
(Ranking ke-4 (UM A) dan ke-8 (UM B) keseluruhan)

Duduk dari kanan : Hasem, Khairani, Hayati, Amin Ribbang dan Shauqi. Berdiri dari kanan : Kharizul, Sulaiman, Us Hazrul, Us Akhbar, Amin Mulia dan Alpijun.

USIM, Nilai Isnin 14 Nov 2011 : Pasukan Debat Bahasa Arab Universiti Malaya (UM) berbangga apabila kedua-dua pasukannya layak ke peringkat Suku Akhir Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Asean kali ke-5 tahun 2011. Malah, pasukan UM (A) berada di kedudukan ke-4 keseluruhan daripada 20 pasukan yang bertanding mewakili universiti masing-masing. Pada peringkat saringan tersebut pasukan UM (A) memenangi 4 daripada 6 pertandingan saringan yang meletakkannya di kedudukan ke-4 keseluruhan. Pasukan UM (A) diwakili oleh Sdr. Mohd. Kharizul, Sdr. Hasem, Sdr. Amin Ribbang dan Sdri. Nor Hayati.
     Manakala pasukan UM (B) pula diwakili oleh Sdr. Sulaiman, Sdr. Alpijun, Sdr. Nur Amin Mulia dan sdri. Siti Khairani. Pada peringkat saringan pasukan ini telah memenangi 3 daripada 6 pertandingan saringan seterusnya melayakkan mereka bertanding di pusingan Suku Akhir yang menggunapakai peraturan 'kalah mati'. Walaupun nasib belum menyebelahi kedua-dua pasukan ini, namun kejayaan melepasi pusingan pertama dan melayakkan diri ke pusingan Suku Akhir adalah pencapaian yang cukup membanggakan. Jurulatih pasukan UM ialah Ustaz Nor Hazrul Mohd Salleh dan Us Mohd. Khairul Akhbar Jahiruddin. (Nota : Pencapaian pada tahun 2010 adalah tempat ke-10 keseluruhan daripada 18 pasukan).
      Pertandingan pada tahun ini juga diadakan bersempena sambutan Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Asean 2011 yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 10-14 Nov 2011. Sambutan bertambah meriah dengan dua lagi pertandingan iaitu Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid antara IPT Asean.
     Bagi Pertandingan Debat Bahasa Arab sebanyak 20 pasukan menyertainya : 16 pasukan daripada IPT seluruh Malaysia (2 pasukan dari USIM, 2 pasukan dari UIAM, 2 pasukan dari UM, 2 pasukan dari UNiSZA, 2 pasukan dari UMP, 2 pasukan dari UKM dan masing-masing 1 pasukan dari UPSI, KUIS dan UUM). Manakala terdapat penyertaan 4 pasukan dari Indonesia : 2 pasukan dari Universiti al-Azhar, Jakarta dan masing-masing 1 pasukan dari Universitas Islam Negeri (UIN) al-Syariff dan STIT Diniah Puteri. 1 pasukan lagi dibentuk daripada gabungan pelajar USIM dan Indonesia (swing) bagi melengkapkan jadual pertandingan.
    
Salah satu pertandingan antara UM (A) dan Diniah Puteri dari Indonesia.

Penyertaan yang Meyakinkan : Latihan Intensif di UM Nilam Puri

Ini merupakan penyertaan kali kedua bagi keseluruhan pendebat UM kecuali Sdr. Nur Amin Mulia yang menyertainya buat kali pertama. Kesungguhan beliau jelas terbukti dan berbaloi apabila sanggup membatalkan persembahan nasyid semata-mata untuk menyertai pertandingan ini. Menurutnya, keputusan ini semata-mata kerana dorongan dan semangat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab. Beliau yakin dengan cara sebegini bahasa Arab akan dapat dikuasai dengan lebih baik. (Nota : Sdr. Nur Amin Mulia adalah salah seorang anggota kumpulan nasyid terkenal 'Feel Honey' yang sentiasa mendapat jemputan mengadakan persembahan).
     Latihan telah dimulakan sebaik sahaja mendapat pengesahan tarikh pertandingan. Namun, ianya hanya diadakan secara biasa memandangkan sesi pengajian baru bermula dan belum mendapat tajuk-tajuk debat secara rasmi. Persatuan Bahasa Arab APIUM Kuala Lumpur melalui Kelab Debat Bahasa Arab telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya menguruskan latihan di UMKL. Setelah beberapa kali latihan dijalankan dengan bantuan beberapa orang pensyarah di UMKL antaranya Dr. Wail, Dr. Mujahid dan lain-lain latihan intensif di adakan di UM Nilam Puri, Kelantan.
     Semasa di UMKL kedua-dua Jurulatih - Us Nor Hazrul Mohd Salleh dan Us Mohd. Khairul Akhbar Jahiruddin sempat beberapa kali berkunjung bagi memastikan persediaan dan sesi-sesi latihan berjalan dengan lancar. Sesi terakhir adalah di UM Nilam Puri bersempena dengan sambutan Aidil Adha 1432H. Kesemua pendebat hadir ke UM Nilam Puri bermula hari Sabtu, 5 Nov 2011 dan mengambil kesempatan bersama dengan jurulatih dan para pensyarah bagi memantapkan persiapan terakhir. Walaupun sibuk dengan sambutan Hari Raya namun persediaan tetap berjalan seperti biasa.

Nasib Belum Menyebelahi Kami : Masanya akan Tiba

Bagi kedua-dua jurulatih Debat Bahasa Arab UM, tiada apa yang hendak dikomen. Adat pertandingan pastinya ada kalah dan menang. Namun, apa yang lebih penting ialah para peserta telah meningkatkan mutu penguasaan bahasa Arab mereka. Mereka telah lebih petah berkomunikasi dalam bahasa Arab. Jangan dilupa hadaf (tujuan) utama adalah untuk belajar dan terus belajar serta memantapkan penguasaan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran. Debat atau mana pertandingan berbahasa Arab adalah wasilah (cara) untuk mencapai hadaf tersebut.
     Perasaan ini dikongsi bersama oleh semua pendebat UM pada kali ini. Perkara ini jelas daripada keceriaan mereka sepanjang pertandingan berlangsung. Kegetiran isu dan situasi pertandingan tidak sekali-kali menggoncang keyakinan mereka. Mereka telah yakin untuk berkata-kata, optimis bila berhujah, tidak gentar menjawab setiap persoalan, malah begitu berani mencipta suasana yang memeriahkan lagi sesi-sesi pertandingan pada kali ini. Mereka menjadi buah mulut setiap orang - hakim, peserta, pemerhati dan penganjur. Apa lagi yang diharapkan kalau mereka telah berada di tahap itu?
     Adat menyertai pertandingan memanglah mencitakan kemenangan. Kita sudah menang dengan diri kita sendiri apabila dapat menguasai bahasa Arab dengan baik. Adapun memenangi pertandingan dalam kejohanan yang besar sudah pasti bukan satu sahaja faktor yang menentukannya. Banyak yang perlu diambil kira. Apapun faktornya, kita yakin suatu hari kemenangan akan menjadi milik kita - UM. Semua perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Tunggulah masa dan ketikanya! Piala akan menjadi milik kita, insya Allah.

Tahniah dan Penghargaan

Pertandingan Akhir Debat Asean kali ini mempertemukan pasukan UIN al-Syariff, Indonesia sebagai Kerajaan dan pasukan UIAM (A), Malaysia sebagai Pembangkang. Pertemuan dua gergasi debat Asean memang dinanti-nantikan. Memang benar, pertandingan yang bermutu tinggi - bahasa dan teknikal. Takdir menentukan bahawa Piala Pusingan akan menyeberang ke Indonesia bagi tahun ini. Tahniah kepada kedua-dua pasukan yang berentap di final. Kalau di tahap ini bahasa Arab pelajar IPT kita, tidak kesah siapa yang juara - Bahasa Arab untuk Semua. Kita telah Memartabatkan Bahasa Arab!
    
Penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam pertandingan pada kali ini :
* UM : Cemerlang Bersama UM
* Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM : Memudahkan segala urusan penyertaan dan support berterusan
* Pejabat Pengarah APIUM KL & APIUM Nilam Puri - Bahasa Arab di UM menyinar kembali!
* Peserta Debat : Kejayaan akan menjadi milik kalian, insya Allah.
* Ahli Persatuan BA APIUM : Berusahalah menguasai dan bertutur dalam Bahasa Arab!
* Jurulatih : Jangan jemu kerana kamu mendidik mereka, bukan mengajar debat sahaja.
* Semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung membantu pasukan Debat Bahasa Arab UM.

جزاكم الله عنّا وعن المسلمين خير الجزاء

Ampun Maaf dipinta di atas segala salah silap, kelemahan dan kekurangan. 
Jumpa lagi di persada kegemilangan!

3 comments:

  1. tahniah kepada ustaz dan kepada semua yang terlibat..semoga terus maju jaya dalam memartabatkan bahasa arab sebagai bahasa kebanggaan kita,,,amin :)

    ReplyDelete
  2. Tahniah semua..semoga maju jaya..bahasa Arab untuk semua..tahniah2..:)

    ReplyDelete
  3. bangga dengan prestasi pelajar UM.Tahniah kepada semua yang terlibat.semoga terus maju di persada dunia.ameen

    ReplyDelete