Tuesday 8 November 2011

Korban Perdana APIUM Nilam Puri 1432H/2011M

Warga APIUM Nilam Puri berkorban 3 Ekor Lembu : Satu Pertiga Daging Korban disedekahkan kepada Fakir Miskin

Korban 1 (Lembu 1)

Korban 2 (Lembu 2)
Korban 3 (Lembu 3)
 APIUM, Nilam Puri, Selasa 8 Nov '11 : Menjelang hari ke-3 Aidil Adha 1432H, warga Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) Nilam Puri berjaya melaksanakan ibadah korban. Acara tersebut telah dimulakan seawal jam 7.45 pagi memandangkan 3 ekor lembu akan disembelih. Acara seperti ini telah dijalankan pada tahun lepas tetapi hanya dengan seekor lembu korban sahaja.
     Lembu korban yang pertama ialah sumbangan seorang 'Hamba Allah' untuk warga APIUM Nilam Puri. Dua pertiga daging tersebut telah digunakan untuk jamuan tengahari warga APIUM Nilam Puri - staf dan juga pelajar. Manakala 1/3 daripada daging sembelihan tersebut telah disedekahkan kepada beberapa staf APIUM Nilam Puri dan golongan fakir miskin di sekitar Nilam Puri. Semua warga APIUM Nilam Puri bergotong-royong memasak makanan tengahari, di samping melapah daging korban.

Pelajar APIUM Nilam Puri Berkorban Seekor Lembu

Pada tahun ini warga pelajar APIUM Nilam Puri berjaya berkorban seekor lembu. Walaupun mereka masih dalam cuti pertengahan semester/cuti Aidil Adha, tetapi mereka sanggup datang semata-mata untuk menjayakan program ibadah korban ini. Secara tidak langsung ianya membentuk semangat berkorban di kalangan mereka. Kebanyakan daripada mereka datang awal hanya untuk bersama memeriahkan sambutan korban pada tahun ini.
     Lembu korban yang ke-2 dikhususkan kepada pelajar. Sebahagian daripada daging sembelihan korban tersebut disedekahkan kepada golongan dhaif di Kampung Tujuh, Tumpat, Kelantan. Ini sebagai kesinambungan kepada program 'Bakti Siswa' yang telah berlangsung dengan jayanya di kampung tersebut pada bulan 14-16 Okt '11. Ianya juga akan menjamin hubungan berterusan antara para pelajar dan keluarga angkat mereka sewaktu program tersebut berjalan. Sebahagian lagi daging korban akan dimasak untuk jamuan semua pelajar pada Isnin, 14 Nov' 11 memandangkan kesemua pelajar akan hadir pada masa tersebut.

Membina Semangat Berkorban, Mempertaut Ukhuwwah Sesama Insan

Dr. Ahmad Najib menyampaikan sumbangan daging korban kepada salah seorang staf lelaki

Dr. Ahmad Najib menyampaikan sumbangan daging korban kepada salah seorang staf wanita

Setelah 2 ekor lembu disembelih, majlis penyampaian sumbangan daging korban diadakan secara ringkas. Ucapan aluan dan terima kasih telah disampaikan oleh Dr. Ahmad Najib Abdullah, pemangku Timbalan Pengarah APIUM Nilam Puri. Beliau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ibadah Korban Perdana pada tahun ini. Kemudian beliau telah menyempurnakan upacara pengagihan daging korban kepada beberapa staf APIUM Nilam Puri.

Ramai pelajar daripada UMKL yang hadir

Bekerja bersama-sama : Staf, pelajar & anak-anak staf

Dr. Ahmad Najib juga bersama melapah lembu korban
     Program ibadah korban pada tahun ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran ramai pelajar lepasan APIUM Nilam Puri yang telah melanjutkan pelajaran di UMKL. Ini adalah bukti ikatan ukuwwah yang kukuh antara mereka dan APIUM Nilam Puri. Seterusnya menjamin keutuhan ukuwwah yang telah terbina selama dua tahun di Nilam Puri. Peluang ini diambil oleh mereka untuk beramah mesra bersama para pensyarah, staf dan rakan-rakan mereka.
     Perkara ini jelas kelihatan daripada kemesraan yang terpancar daripada wajah semua orang pada program ini. Semoga jalinan ukhuwwah ini akan membantu meningkatkan lagi persahabatan antara warga APIUM Nilam Puri. Terima kasih kepada semua yang hadir.

Staf APIUM Nilam Puri Berkorban Seekor Lembu

Pada tahun ini juga staf APIUM Nilam Puri berjaya berkorban seekor lembu. Lembu yang ke-3 ini disembelih kira-kira jam 11.00 pagi. Setelah ketujuh-tujuh bahagian daging korban dibahagikan, masing-masing mengagihkan daging korban mereka. Bahagian yang khusus untuk staf akan diadakan jamuan pada hari Khamis, 10 Nov '11 dan mereka akan bersama-sama memasak untuk dimakan bersama.

     Begitulah berlangsungnya acara Korban Perdana di APIUM Nilam Puri bagi tahun 1432H dengan jayanya. Makan tengahari berjaya disediakan pada jam 12.45 tengahari. Semoga program seperti ini akan terus mendapat kerjasama daripada semua pihak. Didoakan semoga semua ibadat kita diterima oleh Allah s.w.t.
تقبّل الله منا ومنكم يا كريم

1 comment:

  1. tahniah ayahanda.. ukhwah terjalin semakin erat dengan aktiviti2 sebegini. drpd bosnya sampaila kpd anak muridnya. semua terlibat..... tahniah... mabrul alaik...

    ReplyDelete