Tuesday 25 October 2011

Arabic Camp 2011 معسكر اللغة العربية

Arabic Camp 2011 معسكر اللغة العربية

Para peserta bergambar setiba di UM Nilam Puri 

Nilam Puri, Kelantan 23 Okt 2011 : Seramai 40 orang pelajar terlibat dalam program “Arabic Camp '11" anjuran bersama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Nilam Puri (UM Nilam Puri), Kelantan dan Prince of Songkhla University (PSU), Pattani, Thailand. Program ini berlangsung selama 6 hari bermula 18 Oktober hingga 23 Oktober 2011 di kampus Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan.
     Program ini pertama kali diadakan secara bersama antara kedua-dua universiti. Ia juga merupakan satu daripada perancangan masa depan UM Nilam Puri bagi memperluaskan jaringan akademik dalam bidang kepakaran Bahasa Arab & Pengajian Islam di arena serantau. Dalam masa yang sama penguasaan kemahiran bahasa Arab para pelajar dapat ditingkatkan. Program yang menjalinkan hubungan secara rasmi antara UM – PSU ini akan diadakan secara berkala sekurang-kurangnya 2 kali setahun.
     Selama enam hari program ini berjalan, para peserta yang terdiri daripada 20 orang pelajar Asasi Pengajian Islam, UM Nilam Puri dan 20 orang pelajar tahun 3 dan tahun 4 Arabic Major daripada PSU didedahkan dengan pelbagai teknik bagi menguasai kemahiran bahasa Arab. Mereka juga dilatih secara praktikal berdasarkan modul yang telah disediakan oleh para pensyarah dan pengajar bahasa Arab UM Nilam Puri. Mereka dibawa belajar sama ada dalam kelas dan di luar kelas termasuklah lawatan ke bandar Kota Baru dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) bagi memujudkan kepelbagaian suasana pembelajaran. Penggunaan bahasa Arab adalah wajib disepanjang tempoh program ini.
     Para peserta melahirkan rasa puas hati terhadap program ini dan amat berharap agar ada program susulan kepada mereka dan berhasrat untuk menyertainya lagi. Peningkatan yang ketara dapat diperhatikan terutamanya dari aspek motivasi untuk menguasai bahasa Arab dengan baik. Ramai yang tidak percaya bahawa mereka sebenarnya mampu menguasai bahasa al-Quran ini dengan baik. Hanya teknik dan strategi pembelajaran sahaja yang perlu dipertingkatkan. Mereka sebenarnya berupaya menguasai bahasa Arab dengan cemerlang.
     Harapan yang besar diletakkan kepada pihak-pihak penganjur agar dapat meneruskan program seperti ini pada masa akan datang, bahkan dengan lebih kerap agar lebih ramai pelajar dapat menyertainya. Selain daripada pembelajaran bahasa Arab, para pelajar juga dapat meluaskan jaringan persahabatan mereka dengan rakan-rakan daripada kedua-dua buah negara. Semoga selepas ini UM Nilam Puri akan terus mengungguli pentas anatarabangsa dalam bidang pengajaran & pembelajaran bahasa Arab kepada penutur bukan Arab.


Majlis Penutup

 Barisan Tetamu Kehormat, dari kanan : 
Ustazah Wan Rohani, Dr. Ahmad Najib, Prof. Awang & Dr. Bordin

  
Nilam Puri, Kelantan, 23 Okt 2011 : Majlis Penutup Arabic Camp 2011 berlangsung pada jam 11.00 pagi di dewan Kuliah 2, UM Nilam Puri. Majlis dihadiri oleh Dr. Ahmad Najib Abdullah al-Qari, pemangku Timbalan Pengarah APIUM Nilam Puri, Prof. Awang La-Nui, Dekan Fakulti Humanities & Sciences (HS), Prince of Songkhla University (PSU), Thailand, Dr. Bordin, Timbalan Dekan, HS PSU, Ustazah Wan Rohani Wan Mokhtar, Pengarah Arabic Camp 2011, para pensyarah UM Nilam Puri & PSU serta semua peserta.

 Dr. Bordin menyampaikan Ucapan Aluan bagi pihak PSU

Dr. Bordin dalam ucapannya menyatakan rasa syukur dan bertuah kerana program penting ini berjalan dengan lancar walaupun hanya dibincangkan antara pihak UM-PSU pada bulan Ogos yang lalu. Ini membuktikan satu semangat kerjasama yang utuh antara kedua-dua pihak. Beliau juga melahirkan rasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan UM Nilam Puri dalam mengadakan program pemantapan bahasa Arab bagi para pelajar PSU. Mengikutnya, pihak PSU tiada halangan untuk terus menjalinkan hubungan kerjasama UM-PSU, malah bersedia untuk mengadakan beberapa program bersama dalam masa terdekat.
    
Dr. Ahmad Najib menyampaikan Ucapan Perasmian Penutup
    
    Perasmian Penutup disempurnakan oleh Dr. Ahmad Najib Abdullah, pemangku Timbalan Pengarah APIUM Nilam Puri. Dalam ucapannya beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta serta AJK Pelaksana program ini yang bertungkus-lumus menjayakannya. Menurutnya, UM Nilam Puri berbangga dengan kerjasama yang ditunjukkan, bahkan semangat inilah yang menjadi faktor kejayaan yang dijalankan UM Nilam Puri. Beliau berharap agar program seperti ini diteruskan sambil menyambut baik cadangan kerjasama daripada pihak PSU.

Persembahan Nasyid

     Majlis diselangi dengan persembahan teater dan alunan nasyid oleh para peserta. Majlis di akhiri dengan penyampaian sijil kepada semua peserta oleh Dr. Ahmad Najib Abdullah. Kemudian disusuli dengan penyampaian cenderahati daripada pihak UM Nilam Puri kepada PSU yang diwakili oleh Prof. Awang La-Nui. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada pihak PSU kepada pihak UM Nilam Puri. Majlis berjalan lancar dan tamat pada jam 1.00 tengahari.

 
Selepas Majlis Penutup telah diadakan sesi bergambar beramai-ramai tanda kenangan yang abadi.

No comments:

Post a Comment